Tuesday, April 13, 2010

Golongan yang Istimewa.....

"Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir,orang miskin,amil(pengurus-pengurus) zakat,para mu'allaf yang dilembutkan hatinya,hamba-hamba sahaya,orang-orang yang berhutang,untuk jalan allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan,sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"(Surah At-Taubah:60)

Kenapa golongan mu'allaf antara golongan yang berhak mendapatkan harta zakat?Apakah keistimewaan golongan ini?

Mu'allaf adalah orang-orang yang baru memeluk Islam yang imannya masih lemah.Kagum dengan golongan ini yang telah mendapat hidayah dari Allah s.w.t,yang rela meninggalkan segala-galanya untuk berusaha mencari agama yang benar ini.Ada yang sanggup dibuang oleh ibu bapa kandung mereka sendiri,dihalau oleh keluarga sendiri,dipulaukan oleh kawan-kawan,kaum kerabat.Ada pula yang sanggup meninggalkan harta benda semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.Mereka tiada apa-apa melainkan dengan iman kepada Allah dan RasulNya.Diri ini kagum dengan ketabahan mereka untuk meneruskan hidup mereka ini dengan kesusahan dan kesabaran.

Teringat pula kisah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menyebarkan risalahNya.Bagaimana mereka mahu menyebarkan Islam di kalangan kaum Arab Jahiliyyah?Pada ketika itu,Islam begitu asing sekali di pandangan kaum Arab Jahiliyyah.Mereka sanggup menyeksa,membunuh,memulaukan orang Islam.Mereka begitu berkuasa pada ketika itu.Tetapi Rasulullah dan para sahabatnya sabar dalam meneruskan penyebaran Islam yang akan menjadi teguh dan kuat dalam setiap hati orang-orang yang mencintai Allah dan Rasulnya.

Aku menjadi kagum dengan Mus'ab bin Umair yang sanggup meninggalkan harta kekayaaan dan keluarganya,Salman Al-Farisi yang sanggup mengembara dari Parsi untuk beriman kepada Allah dan RasulNya,Sa'ad bin Abi Waqqas yang sanggup meninggalkan ibunya yang mogok lapar dan tetap bertegas untuk tidak kembali kepada agama asalnya.Kalau itu di zaman Rasulullah s.a.w,bagaimana zaman sekarang?Tentu kita mendengar nama-nama seperti Malcolm X,seorang pemimpin Afrika-Amerika yang menuntut keadilan dan menentang diskriminasi,Muhammad Ali,seorang peninju yang handal di zamannya yang terkenal dengan cogan katanya"Fly like a bird,Sting like a bee..",Cat Stevens,seorang komposer dan penyanyi British yang mencari kebenaran,Nicholas Anelka,penyerang antarabangsa bola sepak pasukan Perancis dan ramai lagi.Mereka juga pernah mengalami kesusahan ketika mereka baru memeluk Islam dan masih terumbang-ambing tetapi dengan kesabaran mereka untuk mempertahankan iman mereka,mereka berjaya dalam bidang-bidang yang mereka ceburi.

Hati mu'allaf mereka sangat lembut sehingga diibaratkan seperti kulit bawang yang tipis dan boleh terkoyak bila-bila masa.Tetapi pada zaman sekarang,sedih melihat mereka ini dipinggirkan dari kita yang kebanyakkan telah beragama Islam.Bukankah orang mu'min itu bersaudara?Sanggupkah kita melihat mereka ini terus terjerumus ke lembah maksiat,hidup berseorangan dan dalam penuh ketakutan?Kasihan diri ini pabila mendengar ada dalam kalangan mereka yang dibelasah,dikeroyok,dibunuh dengan kejam hanya kerana mereka memeluk Islam?Ya Allah,mereka ini mati dalam mempertahankan iman kepadaMu,tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang Engkau redhai.

Pada hari ini,diri ini ingin mengajak sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku seakidah ini untuk membantu diri ini untuk membela nasib mereka ini.Mereka juga adalah saudara kita.Bukankah Rasulullah ada bersabda,
“Barangsiapa yang tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka”. ( Riwayat Baihaqi dari Anas r.a )

No comments: